May 24, 2008

JANGAN MARAH-MARAH

Rupa ketika marah lebih buruk daripada perlakuan haiwan

IMAM Syafie ada menegaskan: "Marah adalah satu di antara panah syaitan
yang mengandungi racun. Oleh itu hindarilah ia agar kamu dapat
menewaskan syaitan dan bala ten teranya."

Apabila marah dituruti, ia akan membakar kebaikan seperti api membakar
kayu dan tiada yang tertinggal kecuali debu. Bagi menghilangkan
perasaan marah ada beberapa panduan yang boleh diikuti, iaitu:

1. Perlu berasa malu dengan Allah atas segala tindakan kita. Allah
memerhatikan segala tindakan dan sikap biadab kita.

2. Apabila datang perasaan hendak marah, ingatlah kita ini hanya
manusia yang hina.

3. Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah supaya Allah
selamatkan kita daripada sifat marah.

4. Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah. Ia mungkin membawa
kepada permusuhan dan balas dendam daripada orang yang kita marahi.

5. Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika marah. Ia lebih
buruk daripada perlakuan seekor haiwan apabila kita dalam keadaan
marah.

6. Apabila datang perasaan marah, banyakkan membaca isti'azah kerana
marah itu datang daripada syaitan.

7. Apabila marah sedang memuncak, ambillah wuduk kerana ia dapat
menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

8. Jika marah tidak dapat hilang dengan melakukan perkara seperti di
atas, hendaklah tidur. Ini kerana ia dapat meredakan perasaan marah
apabila bangkit dari tidur nanti.

9. Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datang daripada Allah
dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah?

10. Apabila kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Begitu
juga dengan orang lain yang melakukan kesilapan, tidak suka dimarahi,
sebalik ditegur secara baik.

11. Satu cara lagi, apabila marah datang, sedangkan kita berdiri,
duduklah. Apabila duduk, bersandarlah. Insya-Allah marah akan mula
reda.

Jangan Kamu Marah!

Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki telah berkata kepada
nabi SAW yang maksudnya:" Berwasiatlah kepada ku." Sabda Rasulullah
SAW: "Jangan kamu marah." Maka lelaki itu mengulangi kata-katanya
berulang kali. Sabda Rasulullah SAW:" Jangan kamu marah.."(al-Bukhari)

Huraian
Hasan al-Basri pernah berkata: Empat perkara jika sesiapa memilikinya
maka Allah memeliharanya daripada syaitan dan mengharamkan ke atasnya
api neraka: (iaitu) Sesiapa yang mampu mengawal dirinya ketika dalam
keghairahan, ketakutan, syahwat dan kemarahan." Sesungguhnya kemarahan
akan mengumpulkan segala keburukan. Reaksi seorang yang sedang marah
dapat dilihat pada wajah dan anggota badannya seperti warna mukanya
bertukar merah, urat-urat lehernya menegang, tubuh badan seakan-akan
menggigil kerana geram, suara menjadi nyaring manakala lidah mula
mengeluarkan perkataan yang buruk sama ada mengutuk atau mengeji. Ada
kemungkinan patah-patah perkataan itu berupa penghinaan atau yang
seumpama dengannya yang haram diucapkan termasuklah menuduh orang lain
sebagai kafir dan lai-lain. Selain itu, seseorang itu juga akan
melakukan perbuatan yang di luar kawalannya sendiri seperti memukul,
menumbuk, menampar dan sebagainya. Semua ini berkemungkinan akan
mendorong kepada perbuatan yang menyakitkan orang lain yang akhirnya
mewujudkan permusuhan dan kebencian di antara satu sama lain. Justeru
walaupun sifat marah adalah sifat semula jadi manusia namun sebagai
seorang Muslim kita hendaklah berusaha untuk menjauhkan diri daripada
segala sebab yang menyebabkan kemarahan.

May 17, 2008

TEMPAT TINGGAL IBLIS

Anas bin Malik r.a. berkata:
"Iblis telah bertanya pada Allah: katanya, wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan anak Adam tempat kediaman untuk mereka berteduh dan berzikir kepadaMu, oleh itu tunjukkanlah padaku tempat kediaman untukku." Firman Allah: "Tempat kediamanmu adalah di dalam tandas."

Iblis bertanya lagi: "Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan anak Adam berkumpul di masjid, di manakah pula tempatku berkumpul?" Firman Allah: "Tempatmu berkumpul ialah di pasar-pasar, pesta, pusat membeli belah, kelab malam, tempat hiburan serta majlis-majlis maksiat."

Iblis bertanya: "Wahai Tuhanku, Engkau berikan anak Adam itu kitab (al-Quran) untuk mereka membacanya, tunjukkanlah apa pula bahan bacaanku?" Firman Allah: "Bacaan untukmu ialah syair dan sajak yang melalaikan."

Iblis bertanya: "Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan kepada mereka cerita-cerita benar, apakah pula cerita bagiku?" Firman Allah: "Cerita bagimu ialah kata-kata kesat dan dusta."

Iblis bertanya: "Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan azan kepada anak Adam untuk mereka memanggil orang sembahyang,apa pula azan untukku?" Firman Allah: "Azan untukmu ialah seruling."

Iblis bertanya: "Wahai Tuhanku, Engkau telah menghantar utusan-Mu dari para rasul dan juga nabi, siapakah yang menjadi utusanku?" Firman Allah: "Para utusan mu terdiri daripada bomoh, tabib dan dukun yang menduakan Aku."

Iblis Bertanya: "Wahai Tuhanku, Engkau berikan kitab suci al-Quran yang bertulis kepada mereka, apakah pula tulisan bagiku?" Firman Allah: "Tulisanmu ialah tatu, gincu serta lukisan di badan."

Iblis bertanya: "Ya Tuhanku, Engkau berikan anak Adam perangkap, apakah pula perangkap bagiku?" Firman Allah: "Perangkap bagimu ialah wanita."

Iblis bertanya: "Ya Tuhanku, Engkau berikan mereka minuman yang halal yang disebutkan nama-Mu, apakah pula minuman untukku?" Firman Allah: "Minumanmu ialah sesuatu yang memabukkan serta tidak disebutkan nama-Ku padanya."

Sabda Rasulullah saw: "Wahai manusia, laksanakanlah amalan-amalan menurut kemampuan kamu. Sesungguhnya Allah tidak akan bosan sebelum kamu merasa bosan. Sesungguhnya amalan yang paling disukai Allah ialah amalan yang ringan namun berterusan."

( Hadis Riwayat Muslim )